Suatu
hari, ketika Nabi Ibrahim a.s. berada di Mekah sedang dalam keadaan
tertidur. Dia mendengar suara daripada Allah s.w.t. yang
memerintahkannya agar dia menyembelih anaknya, Ismail. Nabi Ibrahim
a.s. bangun daripada tidurnya dalam keadaan terkejut dengan mimpinya
yang aneh itu. Nabi Ibrahim a.s. meminta keampunan dan perlindungan
kepada Allah s.w.t. Dia kembali tidur. Mimpi yang seperti awalnya
terjadi lagi. Dia bangun lagi dan tidur lagi. Akan tetapi, mimpinya
masih tetap sama.
Nabi Ibrahim a.s. mengetahui bahawa perintah tersebut merupakan ujian
yang harus dia jalani. Amat berat bagi Ibrahim a.s. untuk memberitahu
isi wahyu itu kepada Ismail. Ismail pada saat itu menginjak dewasa dan
boleh mencari nafkahnya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. sangat senang kerana
Ismail sudah besar. Nabi Ibrahim a.s. memberitahu perintah Allah s.w.t.
tersebut kepada Ismail.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama
Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata, 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat
dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa pendapat
kamu!' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan
kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku termasuk
orang-orang yang sabar.'"
(Ash-Saffat: 102)
Ketika Nabi Ibrahim a.s. hendak pergi melaksanakan penyembelihan
puteranya itu, beliau berkata kepada Siti Hajar, ibu Ismail a.s.:
"Tolong kamu pakaikan anak kamu Ismail pakaian yang paling baik dan
cantik kerana aku akan pergi berziarah dengannya."
Siti Hajar memakaikan pakaian yang paling cantik kepada Ismail,
memberinya minyak rambut, lalu menyisir rambutnya. Kemudian, Nabi
Ibrahim a.s. pergi bersama Ismail dekat dengan kota Mina. Dia juga
membawa tali dan pisau yang tajam. Waktu itulah, iblis terkutuk datang
menggoda Nabi Ibrahim a.s. Mereka tidak pernah sesibuk seperti hari
itu. Menyaksikan perkara itu, Ismail ketakutan dan berlari ke hadapan
ayahnya.
Iblis lalu berkata: "Apakah kamu tidak memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan perilakunya yang santun?"
Nabi Ibrahim a.s. menjawab: "Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk menyembelihnya."
Apabila iblis terkutuk itu putus asa kerana tidak dapat menggoda Nabi
Ibrahim a.s., dia pun pergi menemui Siti Hajar dan berkata: "Bagaimana
boleh kamu hanya duduk-duduk sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan
anak kamu dan hendak menyembelih anak kamu?"
Siti Hajar menjawab: "Jangan berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih anaknya sendiri!"
Iblis berkata: "Suami kamu membawa pergi anak kamu sambil membawa tali
dan pisau. Dia mengira Tuhannya telah menyuruhnya untuk itu."
Siti Hajar mengelak: "Nabi tidak diperintahkan untuk mengerjakan
sesuatu yang sia-sia. Tapi, jika memang Allah s.w.t. telah
memerintahkan perkara itu, aku sendiri bersedia untuk menurut perintah
itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa, malah anakku rela kukorbankan demi
Allah s.w.t.!"
Apabila iblis terkutuk berputus asa kerana tidak boleh memujuk Siti
Hajar, maka dia pergi menemui Ismail seraya berkata: "Hai Ismail, kamu
nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali dan
pisau untuk menyembelih kamu."
"Jangan berdusta, hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya Ismail.
"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya demikian."
"Aku memerhatikan dan mentaati perintah Tuhanku!" tegas Ismail
Ketika iblis yang terkutuk itu melontarkan kata-kata yang lain,
terlebih dahulu Ismail a.s. mengambil batu dan tanah lalu
melemparkannya kepada iblis sehingga menyebabkan mata iblis yang kiri
pecah dan menjadi buta. Setelah itu, barulah iblis pergi. Peristiwa
inilah yang melatarbelakangi perintah Allah s.w.t.yang mewajibkan umat
Islam untuk melemparkan batu di tempat itu untuk mengusir syaitan
seperti yang dilakukan oleh Nabi Ismail.
Apabila Nabi Ibrahim a.s. sampai di Mina, beliau berkata kepada Nabi
Ismail: "Anakku, aku mendengar dalam mimpiku bahawa Allah s.w.t. telah
memerintahkanku untuk menyembelih kamu. Bagaimana pendapat kamu?"
Maksud daripada pertanyaan Nabi Ibrahim a.s. adalah dia meminta
pendapat Nabi Ismail tentang perintah dalam mimpinya itu. Adakah Ismail
akan tabah dan sabar menerima perintah Allah s.w.t. itu, atau Ismail
akan menolaknya dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. sebelum perintah
itu dilaksanakan. Sekaligus sebagai ujian adakah Ismail akan menjawab
dengan penuh perhatian dan taat kepada perintah Allah s.w.t. atau tidak.
Lalu Ismail menjawab: "Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang Allah s.w.t.
perintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t., ayah akan mendapatkan aku
sebagai orang yang sabar dalam menjalankan perintah Allah s.w.t."
Apabila Nabi Ibrahim a.s. mendengar jawapan dari puteranya itu, beliau
tahu bahawa doanya telah dikabulkan oleh Allah s.w.t. iaitu: "Rabbi
hablii minash solihiin. (Ya Tuhanku, berikanlah aku anak yang soleh)."
Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun mengucapkan pujian dan syukur serta
berterima kasih kepada Allah s.w.t.
Kemudian Ismail berkata: "Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesanan
kepada ayah! Hendaklah ayah mengikat tanganku agar aku tidak dapat
bergerak-gerak kerana mungkin aku akan menyakiti ayah. Hadapkan wajahku
ke tanah agar ayah tidak dapat melihat wajahku dan berasa kasihan
kepadaku. Hendaklah ayah melipat kain ayah agar tidak dilumuri darah
meskipun sedikit sehingga mengurangkan pahalaku dan diketahui oleh ibu
hingga dia menjadi sedih. Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan
mempercepatkan sembelihannya di atas leherku agar aku tidak merasa
terlalu sakit kerana sesungguhnya mati itu sakit sekali.
Hendaklah ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai kenang-kenangan
dariku, serta sampaikan salam hormatku kepadanya dan katakan;
Bersabarlah engkau menerima perintah Allah s.w.t. dan jangan beritahu
kepadanya bahawa ayah telah menyembelih aku dengan mengikat tanganku.
Jangan pula ayah memasukkan anak-anak ke rumah ibu, agar kesedihannya
tidak terlalu lama. Begitu juga ayah, janganlah kamu melihat anak
seusiaku kerana nanti ayah akan menyesal dan bersedih terhadapku."
Mendengar permintaan anaknya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: "Sebaik-baik
penolong adalah kamu, wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah
s.w.t."
Kemudian kedua-duanya bersiap untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Nabi Ibrahim a.s. sendiri yang akan membaringkan Nabi Ismail seperti
membaringkan kambiing yang akan disembelih. Ada juga yang mengisahkan
Nabi Ibrahim a.s. menelungkupkan wajah Ismail dengan syarat agar tidak
melihat sesuatu yang akan menimbulkan kasih sayangnya sehingga dapat
menghalangnya daripada melaksanakan perintah Allah s.w.t. Kejadian itu
terjadi di suatu sisi seketul batu besar yang terletak di Mina.
Ada yang mengisahkan kejadian itu berlaku di suatu tempat di Mina.
Ketika Nabi Ibrahim a.s. meletakkan pisaunya pada leher Ismail a.s.,
beliau pun berusaha memotong dengan kuat sekali, tetapi sekuat manapun
dia mencuba, dia tidak mampu untuk memutuskan leher anaknya itu.
Sesungguhnya ketika kejadian itu berlaku, Allah s.w.t. telah membuka
tutup mata para malaikat yang ada di langit dan di laut. Ketika melihat
Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih puteranya Ismail, mereka tersungkur
bersujud kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. berfirman: "Perhatikan oleh kamu sekalian tentang hamba-Ku
ini, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya untuk
mengharapkan keredhaan-Ku, sedangkan kamu dahulu telah menyatakan
sesuatu ketika Aku berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi
ini seorang khalifah." Kamu berkata: "Apakah Engkau menciptakan orang
yang akan berbuat kerosakan di bumi dan akan menumpahkan darah,
sedangkan kami semua maha sucikan Engkau?"
Kemudian Ismail berkata lagi: " Wahai ayahku, lepaskanlah ikatan tali
di tangan dan kakiku agar Allah s.w.t. tidak memandang aku sebagai
orang yang terpaksa mentaati perintah-Nya. Kemudian letakkan pisau itu
di leherku agar malaikat-malaikat tahu bahawa putera Ibrahim a.s. telah
mentaati perintah Allah s.w.t. dengan ikhtiar (pilihan sendiri dan
secara sukarela)."
Lalu, Nabi Ibrahim pun menelentangkan kedua-dua tangan Ismail dan kedua
kakinya yang tanpa ikatan serta memalingkan wajahnya ke tanah lalu
menekankan pisau dengan sekuat tenaganya. Namun dengan izin Allah
s.w.t., ternyata pisau itu tidak boleh memotong leher Ismail.
Melihat kejadian itu, Ismail berkata: "Wahai ayahku, kekuatan kamu
menjadi lemah kerana kamu masih menyimpan cinta kamu untukku. Oleh
kerana itulah, kamu tidak boleh menyembelih aku."
Lalu Nabi Ibrahim a.s. memukulkan pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua.
Kemudian Ibrahim a.s. berkata: "Hai pisau, engkau mampu membelah batu
itu, tetapi mengapa engkau tidak mampu memotong leher anakku?"
Dengan izin Allah s.w.t., pisau itu dapat berbicara dan menjawab:
"Wahai Nabi Allah Ibrahim, kamu memang mengatakan "Potonglah!"
kepadaku, sedangkan Tuhan penyeru alam sekalian juga berfirman: "Jangan
kamu potong!" Maka bagaimana mungkin aku mentaati kamu, sedangkan aku
harus menderhakai Tuhanku dan Tuhan kamu?"
Kemudian Allah s.w.t. berfirman: "Dan kami menyeru: "Hai Ibrahim,
sungguh kamu telah membenarkan mimpi kamu. Daripada semua yang kamu
lakukan, Aku boleh melihat bahawa kamu bersungguh-sungguh telah memilih
keredhaan-Ku daripada kecintaan kamu terhadap anak kamu. Oleh sebab
itulah, kamu termasuk golongan orang-orang yang taat kepada
perintah-Ku. Sesungguhnya ujian ini merupakan ujian yang nyata.
Penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang
ikhlas dan yang tidak ikhlas dan merupakan ujian yang sangat sukar
kerana tidak ada yang sesukar ujian ini."
"Maka, Kami selamatkan orang yang diperintahkan menyembelih dengan
sembelihan yang besar daripada syurga, iaitu kambing kibas yang dahulu
telah dikorbankan oleh Habil yang telah diterima darinya. Korban
(kambing) itu tetap berada di syurga sehingga Ismail ditebus (ditukar)
dengan kambing itu. Oleh sebab itulah, Kami perintahkan kepada Jibril
untuk membawa kambing kibas itu ketika terakhir kali engkau meletakkan
pisau kamu kepada leher Ismail."
Malaikat Jibril lalu berseru untuk mengagungkan Allah s.w.t. dan merasa
takjub (kagum) menyaksikan perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sambil berucap:
"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar."
Lalu Nabi Ibrahim a.s. membalas ucapan Jibril dengan ucapan: "La ilaaha illallaahu Allahu Akbar."
Begitu juga Ismail, dia menyambutnya dengan ucapan: "Allahu akbar wa lillahil hamdu."
Kemudian Allah s.w.t. memuliakan ucapan itu lalu mewajibkan umat Islam
untuk mengucapkannya pada hari raya Aidil Adha untuk mengikut jejak
Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya, Nabi Ismail yang sentiasa redha dan
taat dalam menjalankan perintah Allah s.w.t.
Tuesday, October 30, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment