Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Kulim, Kedah

Tuesday, January 8, 2013

Guru dan Murabbi

Murabbi membawa maksud ‘pendidik’, yakni orang yang dipertanggungjawabkan bukan sahaja mengajar sesuatu ilmu, bahkan membentuk sahsiah dan peribadi murid ke arah kehidupan yang bermakna.

Murabbi bukan sahaja perlu benar-benar mahir dengan ilmu yang ingin disampaikannya, malah beliau sendiri perlu menjadi ikon yang boleh dicontohi oleh muridnya.

Sifat-sifat terpuji yang perlu ada pada seorang murabbi termasuk bijaksana, berhikmah, wara’, baik hati dan bertimbang rasa. Sewaktu pengajaran, murid bukan sahaja dicurahkan ilmu, bahkan dapat ‘menyerap’ aura positif pendidiknya.

Contoh, seorang guru yang mengajar subjek sains dalam topik cakerawala, bukan sahaja mengajar tentang konsep dan teori peredaran bumi, matahari dan kedudukan planet di dalam orbit semata-mata, tetapi, turut menerapkan unsur-unsur kepercayaan dan kekaguman terhadap ciptaan Allah SWT, lantas mampu menanam perasaan insaf dan syukur murid.

Murid-murid seterusnya dianjurkan untuk bersyukur dengan cara mentaati perintahNya (contohnya: Guru mengimamkan solat zuhur berjemaah setiap hari sebelum pulang).

Perlakuan menerapkan nilai murni ini akan hanya mendapat pengiktirafan murid, seandainya si pendidik mempunyai sahsiah dan perwatakan yang baik dan dihormati murid. Di sinilah letaknya perbezaan guru biasa yang tidak mempunyai ciri-ciri murabbi atau pendidik

Ini berbeza daripada seorang ‘guru’ yang hanya masuk ke kelas dan mengajar mengikut sukatan tanpa meninggalkan apa-apa kesan psikologi yang positif untuk perkembangan rohani murid. Pendek kata, murid hanya diajar untuk sekadar ‘lulus’ peperiksaan dengan menjawab soalan dengan betul.

Sebaliknya, seorang pendidik ‘murabbi’ masuk ke kelas, mengajar mengikut sukatan dengan matlamat akademik yang sama, tetapi beliau keluar dari kelas dengan meninggalkan impak positif sebagai ‘santapan rohani’ murid.

Ke arah ini, seseorang pendidik Murabbi perlu mempunyai ilmu yang digarap hasil daripada pengalaman sendiri. Bermakna, murid mendapat bukan sahaja ilmu keduniaan, malah akhirat. Inilah yang dapat memastikan mereka dapat dibentuk menjadi manusia yang cemerlang dan seimbang dari semua aspek jasmani, emosi, rohani , intelek dan sosial.

Alangkah ruginya apabila kita menghasilkan murid yang cemerlang 9A1, tetapi apabila dewasa ia cuai solat, menderhaka kepada ibu bapa, mengamalkan rasuah dan  tidak mempercayai akhirat (sebagai contoh).

Kekangan dan kelemahan sistem pelaksanaan pendidikan zaman ini membuatkan ciri-ciri murabbi ini semakin terhakis daripada keperibadian guru.

Rata-rata guru memilih profesion perguruan ini bukan kerana niat ikhlas untuk mendidik, tetapi sekadar ‘jalan akhir’ apabila tidak mendapat pekerjaan lain setelah menjadi graduan, ataupun kerana desakan keluarga dan faktor-faktor lain.

Hanya segelintir golongan guru yang benar-benar mempunyai minat dan iltizam yang jitu untuk mendidik anak bangsa.  Walaupun sistem pendidikan mewajibkan guru menerapkan nilai murni dalam setiap P&P, amat jarang sekali unsur ini ditekan dalam setiap pengajaran.

Guru sekadar masuk ke kelas secara ‘touch n go’, dan sibuk dengan kerja-kerja perkeranian yang tak habis-habis, sehinggakan murid terbiar.

Bukan sedikit kes-kes murid yang corot bukan kerana tidak pandai menulis/membaca atau tidak menumpukan perhatian, tetapi hanya kerana mempunyai masalah penglihatan/pendengaran yang tidak dapat dikesan oleh guru.

Walaupun guru menyedari murid tidak dapat menulis/menyalin dengan baik, akan tetapi berapa ramai guru yang benar-benar sanggup meluangkan masa dan mengenal pasti masalah sebenar murid ini?

Apa yang dilakukan hanyalah memarahi dan menghukum murid. Seorang murabbi yang mempunyai sikap prihatin dan peka, akan berusaha mengambil masa, mengkaji punca masalah murid dan cuba menyelesaikannya dengan mengambil tindakan-tindakan yang wajar.

Contohnya, menghubungi ibu bapa, berbincang dan meminta ibu bapa menghantar anak untuk ujian penglihatan/pendengaran dan sebagainya. Sungguhpun teknik pembelajaran masa kini berpusatkan murid (dan penggunaan ICT menggantikan peranan guru), pendidik sebagai fasilitator hendaklah memainkan peranan sebagai pencetus pemikiran kreatif dan kritis murid.

Galakkan murid berfikir di luar kotak, beri alasan atau sebab-sebab munasabah untuk setiap hasil pemerhatian, misalnya; malah sentiasa mengaitkan isi pembelajaran dengan nilai-nilai murni serta konsep ketuhanan. (seperti contoh pembelajaran sains.)

Sebagai murabbi, pendidik harus meluangkan masa untuk membuat refleksi  kendiri, jujur mengakui kelemahan dan muhasabah diri ke arah memantapkan ilmu. Tunjukkan contoh adab yang sesuai dengan taraf sebagai seorang Muslim/Muslimah. Terapkan perlakuan yang menunjukkan kasih-sayang seperti yang dianjurkan oleh kertas pelaksanaan program “Guru Penyayang”, terhadap murid.

Salah satu konsep “Guru Penyayang”, iaitu “menjiwai bahawa murid aset penting yang perlu diberi perhatian, dijaga, dibimbing, dihargai kewujudannya dan disayangi setiap masa” amat tepat sekali pelaksanaannya, sesuai dengan keadaan kontangnya jiwa murid dewasa ini. Sudahlah di rumah tiada perhatian, di sekolah pun tiada dipedulikan...lalu ke mana murid ini akan membawa diri?

Ayuh, ikhlaskanlah hati anda dan ingatlah bahawa seorang pendidik adalah pendakwah yang menyeru manusia kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa segala makhluk hidup berselawat dan memohon ampun untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

Sedekah jariah guru adalah ilmu yang disampaikannya kepada manusia manakala doa anak yang soleh ialah doa  para pelajar kepada guru-guru mereka. Kedua – dua ganjaran ini (ilmu yang dimanfaatkan dan doa) , sudah cukup untuk mengatasi ganjaran bulanan yang tidak seberapa jika dibandingkan keduanya.

Justeru, pendidik hendaklah mengikhlaskan diri mengajar kerana Allah SWT. Sesungguhnya, hanya dengan jiwa ikhlas yang bertapak kuat di dada sahaja dapat membantu para pendidik melakukan pengorbanan untuk kebaikan anak didiknya tanpa mengharapkan pujian mahupun balasan. Tiada cara lain, melainkan dengan memantapkan kefahaman pendidik tentang konsep tauhid dan takwa, barulah konsep murabbi dapat direalisasikan.

0 comments:

Post a Comment